Saturday, March 12, 2011

KARANGAN HARI AIR SEDUNIA 2011(PERMASALAHAN & TINDAKAN)

Pengurusan air di kawasan bandar. Permasalahan dan tindakan penyelesaian.
Nama:Mohamad Nor Imran Bin Mat Shah.
Tingkatan:3 Bukhari.
I/C No:960101-06-5865
Sekolah:Maahad Tahfiz Negeri Pahang,Kuantan.

      Hydrologi atau subtansi kimianya dengan rumus kimia H2O,merupakan satu molekul air yang  tersusun atas dua atom hidrogen yang terikat secara kovalen  pada satu atom oksigen.Selain itu, elemen ini bersifat tidak berwarna, tidak berasa dan tidak berbau pada keadaan standard, iaitu pada tekanan100 kPa (1 bar) dan berada pada suhu 273,15 K (0°C).Hakikatnya,komuniti sekarang memanggilnya dengan nama ‘air’.

      Tamadun pascamodenisasi ini,sememangnya amat bergantung kepada sumber air mentah malah watan ini,Malaysia,tidak terkecuali dalam aspek tersebut.Malaysia telah menyaksikan kemajuan paradigma dalam sosioekonomi selaras dengan misi Malaysia,ke arah mencapai Wawasan 2020.Kemajuan dalam bidang pertanian dan industri banyak menggunakan sumber air seperti dalam bidang pengairan,industri proses, dan penjanaan kuasa elektrik.Pertumbuhan pesat dalam bidang pertanian,industri dan domestik menambah tekanan ke atas sistem sumber air yang sedia ada.Lebih-lebih lagi dalam keadaan kemarau berpanjangan yang sering dikaitkan dengan ENSO (El Nino Southern Oscillation),perubahan penebusan tanah dan tidak terkecuali perubahan cuaca global.Bandar-bandar yang pesat membangun menarik ramai imigran menyebabkan urbanisasi yang pesat yang turut  membawa kepada kontranya,banjir kilat,akibat pertambahan permukaan bumi yang tak telus.

       Buat pengetahuan umum,70% daripada permukaan bumi diliputi oleh elemen air.Elemen ini merupakan aspek terpenting dalam kehidupan homo sapiens yang bergantung kepada air untuk terus hidup.Meskipun  begitu,kebanyakan jenis air adalah terlalu masin untuk diminum.Tiga per empat daripada sumber air tawar  berpunca daripada gunung,ais kutub(glasier) dan sungai.Selain itu,sisa-sisa air tawar tersedia dalam bentuk air mata air,sungai,danau dan arus.Terdapat lebih daripada 250 batang sungai di muka bumi ini.Sungai berfungsi sebagai alat pengangkutan dan perhubungan,sumber bekalan air untuk domestik dan sumber protein.Analoginya,zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu menggunakan lancar,sampan,dan jong untuk mengangkut barangan dan manusia serta untuk mencari sumber rezeki di laut dalam.Oleh itu,tidak hairanlah mengapa bandar purba  dan sebahagian metropolis moden berkembang di muara-muara sungai.Analoginya,petempatan bandar pertama seperti Uruk,Eridu, dan Ur yang muncul dalam sejarah tamadun manusia kira-kira 6000 tahun dahulu (4000SM) di Mesopotamia dan Babylon.Bandar-bandar ini telah dibina di sebuah lembah yang subur,yang disaliri oleh Sungai Tigris dan Sungai Euphrates.Selain itu,jika diteliti,semua bandar utama yang terawal di Malaysia terletak di kawasan kuala atau tebing sungai seperti Kuala Lumpur,Kuala Terengganu,Alor Setar,Kuantan,Kota Bharu,Kuching dan Bandaraya Melaka.

           Walau bagaimanapun,apabila perkembangan Revolusi Perindustrian semakin rancak dijalankan pada abad ke-18,sungai dan sumber air utama yang lain telah mengalami kemerosotan khususnya dari segi kualitas airnya.Dengan pembinaan jalan raya,landasan keretapi,bangunan pencakar langit dan infrastruktur yang lain,tahap kualiti sungai dan air kini kian meruncing.Hal ini disebabkan masalah hakisan,pemendapan tanah dan pencemaran yang tidak terkawal.Sungai merupakan satu contoh yang dominan sebagai sumber air yang kian terancam.Pencemaran sungai merupakan satu isu yang amat mendesak dan memerlukan usaha yang holistik daripada pelbagai pihak ke arah penyelesaiannya.Takrifan pencemaran menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan samada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik,kimia,biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan,mengeluarkan atau membuang bahan buangan.

         Tambahan lagi,kualiti air sungai di Malaysia semakin terdedah dengan pelbagai pencemaran.Pada amnya,setiap sungai di watan ini telah diklasifikasikan kepada lima kelas iaitu:
Kelas 1- Airnya boleh terus diminum tanpa rawatan.
Kelas 2- Airnya memerlukan rawatan biasa.
Kelas 3- Airnya nampak bersih,tidak berbau tetapi kualiti airnya tercemar.
Kelas 4- Tercemar.
Kelas 5- Hampir mati.

          Berdasarkan indeks tersebut,senario sungai di Malaysia menunjukkan,bilangan sungai yang berada dalam kelas 4 dan 5 semakin meningkat manakala bagi kelas 1 dan 2 kian merosot bilangannya.Fakta menunjukkan sungai di kawasan urban paling banyak mengalami kemerosotan kualiti air.Pada tahun 1987,data kualiti air untuk 35 sistem bagi empat sungai utama,berdasarkan indeks kualiti air untuk lima parameter iaitu Keperluan Oksigen Biokimia(B.O.D),Keperluan Oksigen Kimia(C.O.D),bahan terampai Nitrogen beramonia dan pH,menunjukkan bahawa empat batang sungai kini teruk tercemar.Sungai-sungai tersebut ialah Sungai Kelang,Sungai Juru,Sungai Sepang , dan Sungai Raja Hitam.Punca pencemaran dan kerosakan sungai boleh disimpulkan kepada faktor budaya campak buang yang berkait rapat dengan sikap masyarakat majmuk samada pengilang,penternak mahupun penduduk setempat yang enteng sifat kebertanggungjawaban mereka.Nah,sudah terang lagi bersuluh,bahawa di kawasan urban sumber air terutamanya sungai  sememangnya tidak dijaga dengan rapi kualiti dan kebersihan airnya!

         Seterusnya,populasi penduduk di seluruh dunia semakin meningkat dari hari ke hari.Kadar pertumbuhan penduduk di Malaysia juga tidak kurang hebatnya,mengalami satu fenomena yang luar biasa iaitu peningkatan 17.6% bagi setiap satu abad.Di India,lebih daripada empat juta hektar tanah pertanian telah kehilangan sumber air berikutan penyedutan air(water loging),atau peningkatan kadar garam.Mungkin,hakikat yang paling mengerikan adalah pada 20 tahun mendatang,tidak tersedia lagi sumber air tawar yang cukup untuk memenuhi keperluan dasar setengah populasi dunia pada saat itu.Ini adalah alasan kenapa lebih daripada 10,000 tanaman desalinasi telah ditanam,terutamanya di negara Timur Tengah.
          “Penduduk meningkat,simpanan air merosot”.Satu frasa yang tidak enak untuk diluahkan bagi seorang pemimpin di seluruh negara.Namun,hakikatnya yang tak terluah itu….tetap ada.National Water Resources Study(NWRS) dan Syarikat Bekalan Air Selangor(SYABAS) menyatakan bahawa krisis air yang sangat meruncing akan berlaku di Lembah Klang pada awal tahun 2013 kerana simpanan air untuk kegunaan penduduk Lembah Klang semakin kritikal.Hal ini ekoran permintaan penggunaan daripada pengguna semakin meningkat.Statistik penggunaan meter air domestik di Selangor,Kuala Lumpur,dan Putrajaya bagi tempoh Januari 2009 hingga Ogos 2009 adalah sebanyak 216 liter per kapita sehari.Selangor kini mencatatkan penggunaan air sebanyak 32.36 peratus,antara penggunaan air yang tertinggi di Semenanjung Malaysia.Sebagai perbandingan,rakyat Singapura yang sangat sensitif dengan penggunaan air telah menggunakan 155 liter sehari.Manakala, negara Gajah Putih,Thailand 90 liter sehari,negara  Afrika  50 liter sehari dan negara India 100 liter sehari.

           Oleh itu,setiap penyakit,pasti ada ubatnya.Frasa ini juga sangat secocok dengan setiap permasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya.Solusi yang efektif dan pragmatik haruslah disertai dengan strategi yang mantap lagi dominan untuk dilaksanakan.Sekiranya pihak yang bertanggungjawab tidak mengambil peduli akan masalah gergasi ini,bersedialah kita semua menerima malapetaka yang tiada tandingannya di masa hadapan,kehilangan sumber air.Rentetan daripada itu,terdapat beberapa sub projek dan peruntukan wang bagi proses memelihara dan memulihara kesemua sumber air mentah yang terdapat di Malaysia oleh pihak Kerajaan Malaysia dan sektor swasta.Jika sektor kerajaan dan swasta saling bekerjasama seperti aur dengan tebing,sudah pasti menjelang tahun 2020,Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang mempunyai sungai yang boleh dijadikan sebagai pusat pelancongan dan rekreasi.

        Langkah pertama adalah bermula daripada setiap rumah pengguna yang menggunakan air mentah untuk kegunaan domestik dan kawasan sekitar perumahan yang mempunyai sistem perparitan yang kotor.Seharusnya,setiap rumah mempunyai  sistem tangki takungan bawah tanah yang dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke sistem perparitan utama.Surat khabar Utusan Malaysia keluaran tahun 2006 ada menyatakan bahawa untuk mengatasi masalah pelepasan air domestik ke sistem perparitan adalah dengan menyediakan tangki takungan bawah tanah dan air tersebut perlu dirawat menggunakan kaedah bioteknologi selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah hab bioteknologi rawatan air.Selain itu,kerajaan juga seharusnya memperuntukkan sejumlah wang kepada pihak berwajib bagi mengatasi masalah sistem perparitan yang teruk ini di kawasan perumahan khususnya kawasan perindustrian dan juga pemilik kedai makan.Wang tersebut boleh digunakan untuk membina saluran paip khas supaya air domestik tersebut dapat dikumpulkan di kolam takungan sebelum ia disalirkan terus ke sistem perparitan.Oleh itu,sudah pasti tiada lagi sampah sarap atau pandangan cemar mata dapat dilihat di setiap parit di setiap kawasan.

                Seterusnya,sumber air yang baru seperti air hujan perlu diperkenalkan  dan dicambahkan untuk pelbagai kegunaan industri,domestik, dan pertanian.Begitu juga,pengurusan air hujan dan penggunaan ‘Best Management Practices(BMPs)’  bagi mengurangkan kadar masalah banjir kilat kawasan urban,perlu dipraktikkan.Impak perubahan tebus tanah dan perubahan cuaca global ke atas sumber air negara perlu dikaji agar permasalahan air  yang dijangka akan meruncing dalam jangka masa seabad lagi, dapat ditangani dengan baik.Research & Development(R&D) di bidang pengurusan kawasan tadahan perlu diberi perhatian agar kawasan sensitive (Red Area) ini terus memberi manfaat yang infiniti,lebih-lebih lagi dalam aspek pengeluaran air yang berkualiti tinggi.Malaysia sememangnya sebuah negara yang mempunyai taburan hujan yang begitu tinggi implikasi daripada corak tiupan angin serantau.Oleh itu, curahan air hujan tersebut sememangnya dapat menampung keperluan air di sesebuah kawasan.Kawasan perumahan,stadium,padang permainan,dan bumbung-bumbung rumah merupakan kawasan tadahan hujan yang begitu baik sekali bagi kegunaan domestik dan juga pertanian.Dengan itu,air hujan yang dikumpulkan boleh digunakan untuk pengairan sistem fertagasi dan perlu dirawat terlebih dahulu.Kaedah lain adalah penyatuan pengurusan air dengan pengurusan sumber asli yang lain(tanah dan tumbuhan asli).Kaedah ini adalah satu usaha untuk menyepadukan pengurusan sumber asli secara umum.Oleh itu,ia dapat mengelakkan kemerosotan tanih dan menggalakkan ‘conversation of biological diversity’.Dengan itu,kaedah-kaedah ini sudah pasti dapat menampung keperluan air mentah dalam semua aspek bagi seluruh populasi dunia buat selama-lamanya.
 
        Langkah terakhir,penguatkuasaan undang-undang perlulah dilaksanakan dan diawasi dengan teliti .Tindakan tegas dan efektif seperti denda dan kompaun,menarik balik lesen operasi serta penjara ke atas pihak-pihak yang didakwa telah mencemarkan alam sekitar terutamanya sumber air,perlulah dikuatkuasakan sepenuhnya.Pihak tersebut termasuklah pengilang,penternak,pemilik kapal,orang perseorangan dan sebagainya.Langkah-langkah ini sepatutnya dilaksanakan oleh Jabatan Air Selangor(JAS) di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 sejak dahulu lagi.Selain itu,pihak berwajib seharusnya mengawal selia aktiviti pembalakan dan penyahutanan khususnya di kawasan sekitar sungai,kawasan tadahan atau hutan simpan dan sebagainya.Hal ini bagi menjamin kualiti sumber air sungai akan sentiasa bersih dan senantiasa berada di kelas 1 dan 2 dalam indeks tahap kualiti air di bandar.Analoginya,jarak 10 km daripada tebing sungai merupakan kawasan rizab atau kawasan penampan yang tidak boleh diusik oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk aktiviti-aktiviti pembalakan dan penyahutanan.Rentetan daripada itu,semestinya proses pembangunan di seluruh kawasan di Malaysia akan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan.Dengan itu,tiada lagi pandangan cemar mata,tiada lagi bau busuk dan yang pasti bekalan air bagi seluruh populasi penduduk di dunia amnya, dan Malaysia khususnya,akan tersalur di setiap rumah setiap hari buat selama-lamanya.

     Intihanya,sememangnya Hari Air Sedunia ini telah membuka mata ramai masyarakat akan kepentingan memelihara dan memulihara sumber air yang sedia ada di muka bumi ini.Sejak Sidang Umum Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) yang dilaksanakan pada 22 Disember 1992 dan pengeluaran Resolusi Nombor 147/1993 yang menetapkan pelaksanaan peringatan Hari Air Sedunia setiap tanggal 22 Mac,terdapat pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh semua pihak demi menjaga sumber air yang kita semua sayangi dan cintai.Bertemakan ‘Air Untuk Bandar:Keperluan dan Cabaran’,merupakan frasa yang secocok dengan cabaran bagi penduduk metropolis dan bandar di Malaysia akan kepentingan sumber air terhadap setiap kehidupan di muka bumi ini.Oleh itu,marilah kita bergabung tenaga demi kesejahteraan generasi masa hadapan.1Malaysia,Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan.
            

2 comments: